SEPANG – Institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan disaran lebih proaktif dalam menawarkan kursus pendek bersifat micro-credentials terutama kepada golongan yang sudah lebih 20 tahun bergraduat.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, dalam era teknologi bergerak terlalu pantas ini, pastinya banyak perubahan berlaku sejak golongan itu menamatkan pengajian masing-masing.
Beliau berkata, IPT perlu melihat situasi itu sebagai peluang untuk menawarkan ‘sesuatu’ kepada golongan yang sudah lama meninggalkan pendidikan tinggi bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran mereka.
“Satu daripada caranya ialah dengan menyediakan kursus pendek bersifat micro-credentials supaya mereka mampu melengkapkan diri dengan teknologi terkini serta kehendak semasa industri dalam pelbagai bidang.
“Pastinya dengan mengikuti kursus pendek itu akan meningkatkan lagi keberkesanan mereka dalam menjalani tugasan harian di tempat kerja masing-masing.
“Inisiatif ini secara langsung akan meningkatkan produktiviti mereka selaras dengan hasrat negara untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi,” katanya.
Micro-credentials secara amnya adalah suatu kursus atau pakej pembelajaran yang bertujuan untuk mengiktiraf peningkatan kepakaran dan kompetensi spesifik individu dalam pelbagai bidang.
Penawaran Micro-credentials memberi peluang terutamanya kepada individu bekerja untuk meningkatkan kemahiran spesifik yang disyaratkan oleh majikan dan industri dalam tempoh yang singkat.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, IPT perlu berkolaborasi dengan lebih aktif dengan pihak industri untuk mengetahui keperluan terkini majikan.
Sekiranya tidak dilakukan, katanya, kemungkinan besar segala kemahiran mereka yang telah lama bergraduat sudah kurang relevan.
“Ini juga bagi mempromosi pendidikan fleksibel yang menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH) dan tenaga kerja di negara ini juga boleh merujuk Portal Micro-credentials yang dibangunkan MQA.
“Portal itu menjadi pusat sehenti dan sumber rujukan utama kepada pelajar serta calon pelajar bagi mendapatkan maklumat mengenai program micro-credentials yang ditawarkan oleh IPT di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette