Datuk Muhamad Zaki Harun
Datuk Muhamad Zaki Harun

KOTA BHARU – Dua anggota penguat kuasa ditahan kerana memiliki 13 botol plastik berisi cecair keperangan dipercayai air ketum yang disimpan di sebuah rumah di Tanah Puteh, Jalan Kuala Lipis, Gua Musang, dekat sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek berusia 24 dan 28 tahun itu ditahan di rumah masing-masing dan polis turut merampas kesemua 13 botol tersebut berisi keseluruhan 18.25 liter air ketum dianggarkan bernilai RM182.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing didapati negatif dan mereka tidak memiliki rekod jenayah lampau.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan kedua-dua mereka direman selama tiga hari bermula semalam sehingga esok,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Sementara itu, polis turut menahan 978 individu atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 dalam operasi tapis khas seluruh Kelantan bagi tempoh 1 Mac hingga semalam.

Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 884 warga tempatan dan 94 warga asing berumur 14 hingga 91 tahun.

“Dalam tempoh yang sama, polis juga berjaya merampas pelbagai jenis dadah, kenderaan dan sita harta yang kesemuanya bernilai RM450,819,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast