KUALA LUMPUR – Pelakon, Ruhainies kembali memberi tumpuan kepada karier seni selepas dirinya dihimpit kontroversi isu khalwat baru-baru ini.
Ruhainies atau Nur Ruhainiess Farehah Zainul Ilyas seperti biasa menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur demi tanggungjawab dan komitmen yang dijanjikan sebelum ini.
Kata pelakon berusia 32 tahun itu, dia tidak perlu takut kerana berada di pihak benar dan bukan seperti diperkatakan.
“Saya komited pada kerja. Lagi pun saya di pihak yang benar, tidak perlu takut. Berani kerana benar,” katanya dalam satu video bersama usahawan Datuk Aliff Syukri ketika mereka sedang menjalani rakaman promosi sebuah festival jualan.
Dalam video berkenaan, Aliff bertanya tentang kekuatan Ruhainies berdepan dugaan dan kecaman apabila banyak pihak terus menghentam dia susulan kes ditangkap berkhalwat bersama pelakon Aliff Aziz pada Sabtu lalu.
Ruhainies juga sekali lagi menegaskan laporan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menunggu selama tiga jam ketika tangkapan di buat adalah tidak benar.
“Tiga jam itu hanya tokok tambah,” jawabnya.
Sementara itu menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya, Ruhainies turut mengucapkan selamat berpuasa sempena ketibaan bulan Ramadan.
Ruhainies dan Aliff ditahan pihak JAWI di sebuah kondominium mewah di ibu negara dan kemudian dibebaskan dengan jaminan pada pukul 2 petang hari sama.
Pasangan pelakon itu juga dilaporkan bakal didakwa di Mahkamah Syariah dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette