Sazali Mohamad menunjukkan pek kurma buatan Israel yang cuba dibawa masuk ke dalam negara. Foto ihsan JKDM

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas produk kurma Israel yang dibawa masuk ke negara ini.

Kejayaan itu hasil serbuan di tiga buah lokasi berbeza melibatkan sebuah syarikat makanan organik semalam selepas didedahkan di media sosial Isnin lalu.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata,  pihaknya menyerbu tiga lokasi berlainan di Petaling Jaya, manakala dua lokasi lain di sebuah  pejabat dan gudang di sekitar  Klang.

“Hasil serbuan, Kastam berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang dipercayai pemilik perniagaan bagi membantu siasatan lanjut.

“Siasatan awal Kastam mendapati kurma dari Israel tersebut telah dibeli pengimport secara pukal bersama barang makanan organik lain dari sebuah negara di Eropah.

“Setelah tiba di negara ini, kurma secara pukal itu dibungkus semula namun isi kandungan atau nutrisi kurma itu perlu disenaraikan pada label bungkusan yang kemudian mendedahkan nama negara asal produk itu diperolehi iaitu Israel,” kata beliau dalam sidang media pagi tadi.

Pemeriksaan lanjut di ketiga-tiga lokasi serbuan itu turut berjaya merampas 73 pek kurma seberat 14.6 kilogram jenama ‘Organic Jumbo Medjool Dates’ bernilai RM678,000.

Katanya, siasatan lanjut mendapati modus operandi syarikat berkenaan membawa masuk produk Israel masuk bersama produk organik lain dari sebuah negara di Eropah.

“Lurma Israel itu telah diikrar bersama organik lain dan dipercayai telah dibawa masuk ke Malaysia pada tahun 2022 dan disimpan dalam peti ais.

“Harga kurma seberat 200 gram itu dijual pada kadar RM20 hingga RM30.

“Kastam akan meneruskan siasatan secara lebih strategik berhubung perkara ini dengan melihat sistem dan borang pengikraran barangan yang dibawa masuk ke negara ini,” tegas beliau lagi.- MalaysiaGazette