Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) untuk menggubal Akta Perkhidmatan Parlimen baharu dan meminda Perlembagaan Persekutuan kini sudah mencapai 90 peratus disiapkan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu sudah dipersetujui secara berprinsip perdana menteri dan ahli Jemaah Menteri.

“Mereka telah bersetuju secara berprinsip bagi meminda Perlembagaan Persekutuan dan menggubal Akta Perkhidmatan Parlimen yang baharu. Maknanya kerajaan tiada halangan, bersetuju secara prinsip.

“Ia bagi memberi kuasa autonomi pentadbiran kewangan kepada Parlimen serta mewujudkan Majlis Perkhidmatan Parlimen bagi mengendalikan semua urusan pentadbiran Parlimen Malaysia di bawah perkhidmatan yang baharu.

“Di sini memang sudah 90 peratus dah siap, RUU pun dah siap, hanya tunggu masa yang ditanya Yang Berhormat Raub tadi,” katanya pada sesi jawapan menteri dalam sidang Parlimen, hari ini.

Terdahulu beliau menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen (Raub-PH), Chow Yu Hui yang meminta Perdana Menteri menyatakan pelan hala tuju dan garis masa Kerajaan dalam mewujudkan Akta Perkhidmatan Parlimen bagi menunjukkan komitmen Kerajaan untuk menjamin kebebasan dan autonomi Parlimen.

Azalina juga berkata, langkah reformasi ini selaras dengan matlamat kerajaan ke arah memartabatkan doktrin pengasingan kuasa antara badan perundangan dengan badan eksekutif dan terus memperkasakan semangat Perlembagaan.

“Bagi merealisasikan usaha reformasi ini, beberapa sesi libat urus yang berkesan telah diadakan pada 2023 dan tahun ini (2024) dengan semua pihak.

“Antaranya YDP Dewan Negara, YDP Dewan Rakyat, Setiausaha Dewan Negara, Setiausaha Dewan Rakyat, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Turut terlibat Kementerian Kewangan, Jabatan Peguam Negara serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri bagi memuktamadkan ketetapan dasar berkenaan dalam perkara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette