KUALA LUMPUR – Lagak remaja perempuan yang melakukan aksi ‘superman’ di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Melaka ketika berkonvoi selepas menjamu selera memebawa pada apabila beliau diberkas polis, semalam.

Tangkapan ke atas tiga remaja berusia 16 hingga 18 tahun itu dilakukan selepas aksi mereka tular di platform X.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, penahanan kumpulan dikenali ‘Awek Melaka’ itu membawa kepada sitaan tiga buah motosikal Yamaha Y15ZR yang digunakan mereka ketika melakukan aksi berbahaya itu.

“Siasatan awal kejadian (aksi) yang dilakukan remaja itu berlaku pada Ahad lalu kira-kira jam 5.30 petang,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette sambil menambah ketiga-tiga gadis itu tinggal di Melaka.

Menurut Azman, tangkapan dibuat dengan kerjasama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menerusi operasi bermula jam 11 malam.

Tambah beliau, ketika ditahan mereka dalam perjalanan pulang secara berkonvoi dari sebuah kedai makan di Serdang, Selangor.

“Polis mendapati mereka menjadikan lebuh raya sebagai tempat untuk melakukan aksi merbahaya kerana terpengaruh antara satu sama lain.

“Polis turut mengeluarkan tujuh saman atas pelbagai kesalahan ke atas mereka,” katanya.

Azman berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette