CYBERJAYA – Pasukan Petugas Pemantauan Kluster Makanan mencadangkan kepada Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) agar harga siling padi dinaikkan dari RM1,300 kepada RM1,500 setiap tan.
Ketuanya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, ia bertujuan memastikan Beras Putih Madani boleh dijual pada harga RM30 berbanding RM40 bagi setiap 10 kilogram ketika ini.
“Harga lantai sekarang RM1,300 dinaikkan kepada RM1,500 bila berlaku turun naik di pasaran dunia, pendapatan pesawah tidak akan terjejas.
“Bila kenaikan pembelian padi berlaku, maka kos-kos input pertanian seperti baja, bajak dan sebagainya turut meningkat.
“Pengilang tak boleh beli padi RM1,700 untuk jual RM30, pengilang boleh beli pada harga RM1,500 atau RM1,400 satu tan sahaja,” katanya pada sidang media hari ini.
Dalam pada itu,Syed Abu Hussin juga mencadangkan agar kerajaan memberikan RM200 sebagai subsidi tambahan kepada pesawah agar meningkatkan pengeluaran padi.
“Perbezaan RM1,700 dengan RM1,500 iaitu RM200 itu kita akan cadangkan kepada kerajaan untuk membantu pesawah melalui subsidi.
“Perbezaan itu (RM200) kita minta kerajaan untuk tambah sebagai subsidi tambahan.
“Kita cuba menjelaskan kepada kerajaan dan rakyat bahawa inilah kaedah ada yang boleh kita terima bersama walaupun agak berat,” katanya lagi.
Menurut beliau, kerajaan hanya perlu memperuntukkan sehingga RM360 juta untuk memberikan subsidi tambahan RM200.
“Dalam mesyuarat lepas ada disebutkan subsidi bersasar, jumlahnya lebih besar berbanding dengan subsidi kepada pesawah.
“Ia akan mewujudkan satu inisiatif baharu supaya pesawah lebih serius dalam mengusahakan padi dan sehingga kita dapat memenuhi SSL (Tahap Sara Diri) negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette