KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus mendedahkan dakwaan bekas pemain, Zaquan Adha Abdul Razak yang menerima sekeping surat mengatakan kontraknya bersama kelab itu tidak disambung.
Justeru bekas kapten Harimau Malaya itu memutuskan untuk bersara dari dunia bola sepak profesional selepas hampir dua dekad beraksi dalam Liga Malaysia.
Namun menerusi sosial media miliknya, Faliq menjelaskan , kontrak Zaquan Adha, 37, tamat pada 17 Disember 2023 dan kedua-dua pihak sedar akan fakta ini.
“Pemain dan kelab ada hak untuk sambung atau cari kelab lain sebab ianya pasaran terbuka. Malah, ada pemain skuad Jang yang sedang membuat rundingan walaupun latihan pramusim telah bermula
“Zaquan Adha tidak pernah semak statusnya sebagai pemain sejak kontraknya tamat, hanya pertanyaan mengenai tunggakan gaji.
“Memandangkan dia memiliki rekod lima kali kecederaan koyak ligamen lutut anterior (ACL), pastinya ini satu risiko bagi kewangan kelab dalam jangka panjang.
“Surat tersebut hanya memaklumkan bahawa kontrak Zaquan sebagai pemain tidak disambung, malah semua pemain yang tidak disambung juga terima surat yang sama.
“Bagaimanapun, kelab terbuka untuk sebarang peranannya menjadi sebahagian daripada coaching staff. Namun, tindakannya untuk ke media sangat mendukacitakan. Walhal dia tidak pernah sekalipun mahu menyemak statusnya sebagai pemain kepada pihak kelab,” katanya.
Awal tahun ini, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) mengumumkan rombakan ke atas struktur pengurusan pasukan itu dengan Faliq sebagai CEO menggantikan Satwant Singh. – MalaysiaGazette