Lukanisman Awang Sauni

KUALA LUMPUR – Satu pasukan petugas khas di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) akan ditubuhkan bagi melaksanakan kajian menyeluruh berhubung proses discaj pesakit dalam kalangan penjawat awam dan pesara dari Institut Jantung Negara (IJN) berikutan langkah penjimatan kos kerajaan.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni menjelaskan  KKM akan terlebih dahulu memuktamadkan terma rujukan dan keanggotaan pasukan petugas khas termasuk ringkasan eksekutifnya.

“KKM melalui Unit Komunikasi Korporat (UKK) juga akan meningkatkan komunikasi strategik mengenai isu ini bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat,” katanya ketika menggulung usul Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Lukanisman berkata, KKM juga akan menetapkan garis masa penyiapan kajian sebelum dilaporkan semula kepada Jemaah Menteri.

Media sebelum ini melaporankan seorang pesara penjawat awam diberhentikan rawatan selepas 25 tahun menerima rawatan rapi di IJN.

Pesara yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, alasan yang diberi ialah arahan kementerian supaya semua penjawat awam dan pesara perlu discaj ke pusat jantung KKM berhampiran rumah mereka.

Dalam pada itu, Lukanisman berkata, seseorang pesakit di IJN hanya dibenarkan keluar daripada fasiliti itu apabila keadaan mereka stabil dengan tempoh pemantauan sekurang-kurangnya enam bulan hingga satu tahun.

“Pesakit yang telah stabil ini masih boleh dirujuk ke hospital KKM bagi mendapatkan rawatan susulan.

“Hospital-hospital KKM juga dilengkapi dengan peralatan dan fasiliti yang baik serta mempunyai pakar perubatan dan pakar bedah bertauliah dan menawarkan perkhidmatan yang setanding dengan IJN.

“Pendekatan ini membolehkan sekurang-kurangnya 4,000 hingga 5,000 pesakit baharu boleh dirujuk ke IJN setiap tahun bagi mengoptimumkan perbelanjaan,” katanya.

Lukanisman berkata, bagi orang dewasa, ia membabitkan tempoh satu tahun manakala kanak-kanak dua tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast