Telur lalat dalam rongga tulang sup daging yang dibeli.

MELAKA – Sudahlah hendak beli satu dipaksa pula beli dua bekas sup daging, bila sampai waktu berbuka puasa ada telur lalat dalam rongga sup tulang dibeli.

Itu nasib malang dikongsi seorang pengunjung tapak bazar Ramadan di Semabok di sini semalam sebelum ia tular di media sosial hari ini sehingga mendapat pelbagai reaksi masyarakat.

Wanita dari Johor Baharu itu mendakwa, dia singgah ke bazar Ramadan berkenaan selepas teringin untuk berbuka puasa dengan sup daging periuk besar yang dijual panas-panas pada harga RM5 sebekas.

“Saya hulurkan RM10 tetapi pakcik ini beritahu sup dagingnya sedap dan meminta saya ambil dua bekas sedangkan ia hanya untuk saya seorang.

“Penjual ini tetap berkeras menjual dua bekas dan memberikan saya satu lagi mangkuk sup kosong tanpa daging pada harga RM10 menyebabkan saya terpaksa akur apabila baki wang tidak dipulangkan,” tulisnya menerusi hantaran Facebook yang tular.

Tangkap layar dari hantaran yang tular

Dakwanya lagi, sebaik tiba di rumah untuk berbuka puasa, dia terkejut apabila mendapati telur lalat berada di dalam corong tulang daging dalam bekas berkenaan.

“Inikah yang dikatakan sedap?, daging berbau membuatkan saya sangat terkilan dan kecewa.

“Mohon sesiapa yang nampak post saya ini, kirimkan salam kepada penjual. Kita jumpa diakhirat,” tulisnya lagi.

Sementara itu, MalaysiaGazette sedang cuba mendapatkan reaksi peniaga berkenaan mengenai dakwaan pelanggan berkenaan. – MalaysiaGazette.