Ramli menunjukkan dokumen tukar hak milik kereta mangsa secara paksaan dan peralatan elektronik yang dirampas dari sindiket ahlong tawar pinjaman wang di Menara KPJ, Jalan Tun Razak hari ini

KUALA LUMPUR – Polis berjaya membongkar modus operandi  satu sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen (ah long) yang menukar hak milik kereta peminjam secara paksa di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seramai 14 individu warga tempatan terdiri 10 lelaki dan empat wanita disyaki berperanan sebagai ahli sindiket diberkas dalam serbuan di Sungai Besi pada 11 Mac lalu.

“Dalam serbuan di sebuah premis pejabat yang dijadikan markas operasi sindiket berkenaan pemeriksaan lanjut mendapati sindiket tersebut beroperasi di bawah sebuah syarikat dikenali dengan nama Renter Solution Tour Sdn. Bhd.

“Sindiket ini dipercayai menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan mempromosikan aktiviti tersebut melalui Facebook,” katanya dalam sidang media mingguan JSJK di Menara KPJ di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli juga menambah untuk mendapatkan pinjaman, peminjam dikehendaki menyerahkan kenderaan mereka kepada syarikat terbabit sebagai jaminan dan dikehendaki menandatangi dokumen perjanjian tertentu.

Katanya, polis mendapati proses yang digunakan sindiket itu ialah dengan meminta pelanggan membayar yuran tambahan seperti bayaran penukaran hak milik kenderaan dan pemasangan peralatan sistem kedudukan global (GPS).

“Sebelum menerima wang pinjaman, peminjam juga perlu menandatangani dokumen surat persetujuan penjualan kenderaan dan perjanjian sewaan bersama sindiket ah long.

“Sekiranya pinjaman gagal dilunaskan mangsa, hak pemilikan kenderaan itu akan ditukar sepenuhnya kepada syarikat milik sindiket tanpa pengetahuan peminjam tersebut.

“Modus operandi sindiket berkenaan terbongkar selepas polis menerima laporan daripada seorang mangsa apabila kereta Toyota Vellfire ditukar hak milik selepas membuat pinjaman daripada sindiket itu,” ujarnya.

Tegas Ramli, siasatan polis mendapati mangsa telah membuat pinjaman dengan sindiket itu sebanyak RM20,000 namun hanya menerima jumlah wang kira-kira RM16,000 daripada sindiket terbabit selain keretanya ditukar hak milik.

“Menerusi serbuan di premis operasi ahli sindiket di Sungai Besi juga kita berjaya merampas sembilan unit lap top, 11 unit telefon bimbit, tujuh set dokumen perjanjian pelanggan beserta anak kunci dan satu set dokumen pelanggan serta tiga cop syarikat.

Kesemua suspek ditahan reman bagi meneruskan siasatan polis yang disiasat di bawah Seksyen 5(2) dan 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast