KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan ‘Amundi’ yang menawarkan pulangan tinggi dalam tempoh 48 jam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket itu dikesan giat mempromosikan aktiviti itu di laman media sosial dengan menggunakan nama ‘Pelaburan Amundi (Asset Management) Sdn Bhd’.
“Siasatan polis mendapati sindiket menerusi tawaran pelaburan ini menjanjikan pulangan keuntungan yang sangat tinggi hanya dalam tempoh 48 jam.
“Modus operandi sindiket ini menawarkan pelaburan dalam bentuk empat pakej istimewa iaitu pakej Basic dengan modal RM600 membawa keuntungan RM8,500, disusuli pakej Premium pelaburan wang RM900 menjamin pulangan sehingga RM15,500,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Menurut Ramli, dua lagi pakej yang ditawarkan adalah Pakej Crown yang memerlukan modal pelaburan sebanyak RM1,800 dengan keuntungan dijamin sebanyak RM35,500 dan Pakej Superconquer dengan modal pelaburan RM4,000 dengan keuntungan mencecah RM85,500.
Katanya, setakat ini polis telah membuka 15 kertas siasatan terhadap skim penipuan tersebut melibatkan nilai kerugian berjumlah RM166,331.74.
“Dalam usaha untuk menumpaskan kegiatan sindiket ini, pasukan JSJK pada 6 dan 7 Mac lalu telah melaksanakan dua operasi di Johor dan Sarawak.
“Hasil daripada serbuan yang dilaksanakan itu berjaya membawa kepada tangkapan seramai 16 individu yang terdiri daripada 14 lelaki dan dua wanita,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, kesemua suspek adalah warga tempatan dan berusia antara 21 hingga 70 tahun dan disyaki berperanan sebagai pekerja syarikat dan pemilik keldai akaun.
Beliau berkata, pemeriksaan membawa kepada rampasan 20 buah telefon bimbit, sebuah komputer riba, tiga keping kad mesin ATM dan sabuah beg silang.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette