Nidal Sheikh Al-Eid (kiri) maut selepas kereta yang dinaiki dibom Israel.

KUALA LUMPUR – Aman Palestin kehilangan seorang lagi anggota sukarelawan di Gaza selepas keretanya dibom oleh tentera Israel pada Khamis lalu.

Dalam kejadian tersebut, Ahli Majlis Penasihat Aman Palestin Nidal Sheikh Al-Eid yang juga Ketua Jawatankuasa Kecemasan di Rafah syahid bersama Timbalan Ketua Operasi Polis Gaza, Mahmoud Abu Hasna.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut berkata, Nidal merupakan tenaga penggerak terhadap kerja kemanusiaan di Gaza.

“Beliau sentiasa mengorbankan masa dan tenaga dalam membantu rakyat Palestin yang berada di dalam kesusahan. Pemergian beliau merupakan kehilangan besar buat rakyat Palestin dan umat Islam secara keseluruhan.

“Aman Palestin mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan rejim pengganas Israel yang telah memperlakukan rakyat awam Gaza seperti binatang dan tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam kenyataan.

Selain Nidal tiga kakitangan Aman Palestin telah syahid bersama keluarga mereka sejak bermulanya serangan rejim Israel ke atas Gaza pada 7 Oktober tahun lalu.

Dari kini: Tholal An-Nakhalah, Toriq Musa Al Najjar dan Rabab Zuhair Al-Masri.

Toriq Musa Al Najjar syahid bersama seluruh keluarganya dan Tholal An-Nakhalah syahid bersama seluruh keluarganya pada 12 November 2023.

Pengurus Jabatan Program Tajaan Aman Palestin Gaza Rabab Zuhair Al-Masri syahid bersama 21 ahli keluarganya pada 7 Februari lalu.

“Ketiga-tiga mereka yang syahid ini dibom tentera rejim Israel di kediaman mereka. Semoga syurga buat mereka yang syahid dalam mempertahankan tanah Palestin,” katanya.

Sehingga kini lebih 31,000 rakyat Palestin maut dalam serangan berterusan yang dilakukan Israel yang memasuki bulan kelima.-MalaysiaGazette