Hussein Omar Khan bersama Timbalannya Datuk Sasikala Devi menunjukkan rampasan ganja daripada enam suspek termasuk pasangan warga Thailand yang mendalangi sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang 13 Mac lalu.

SUNGAI BULOH – Dua pasangan suami isteri warga Thailand ditahan dalam serbuan ke atas sebuah inap desa di Balakang, Selangor kerana disyaki menjual dan mengedar dadah di Lembah Klang.

Pasangan tersebut ditangkap berikutan penahanan dua lelaki warga tempatan bersama 40 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 40.1 kilogram yang ditemui dalam keretanya di Subang Jaya pada Rabu lalu.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam serbuan di Balakong, polis merampas cecair ketum berisipadu 1.5 liter.

“Modus operandi sindiket ini adalah dua pasangan suami isteri warga Thailand itu menghantar bekalan dadah melalui khidmat transporter warga Malaysia ke negara ini.

“Pasangan itu memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial sebagai pelancong dengan memandu kenderaan sendiri dan duduk di rumah hinap desa yang disewa di Balakong sebelum terlibat pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang,” katanya

Beliau menyatakan demikian selepas majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Menurut Hussain, siasatan mendapati kedua-dua pasangan suami isteri itu berjaya melakukan urus niaga dadah sebanyak dua kali pada tahun lalu sebelum kembali ke Thailand namun percubaan kali ketiga menyaksikan mereka dicekup.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah daripada sindiket ini adalah berjumlah RM281,000 dan berjaya menyita sebuah Toyota Alphard milik pasangan itu bernilai RM120,000 dan enam barangan emas bernilai RM33,000,” ujarnya.

Menyentuh tentang dua lelaki warga tempatan yang ditangkap, Hussein berkata, soal siasat keatas mereka membawa kepada rampasan 50 ketulan mampat ganja seberat 50.3 kilogram menerusi serbuan sebuah rumah di Ampang Jaya.

Tambah beliau, keenam-enam suspek yang ditahan itu berusia antara 26 hingga 32 tahun dan dua suspek warga tempatan bekerja sebagai buruh dan peniaga manakala dua pasangan warga Thailand itu tidak bekerja.

Katanya, dua suspek warga tempatan itu memiliki rekod kesalahan lampau jenayah dan dadah manakala ujian saringan air kencing mendapati hanya dua suspek lelaki warga Thailand positif Methaphetamine dan Amphetamine.

Beliau berkata, kini keenam-enam suspek direman selama seminggu sehingga 20 Mac ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan.

Tambah beliau siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast