Dr. Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Polis telah merakam keterangan Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berhubung kenyataannya yang mendakwa sekolah cina telah membenih perkauman di negara ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, Kok Seong telah hadir ke IPD Brickfields pagi tadi untuk membantu siasatan.

“Beliau (Kok Seong) telah diminta hadir ke IPD Brickfields bagi membantu melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan (mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum).

“Hanya dirakam percakapan dan tiada rampasan telefon atau laptop,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Siasatan di bawah seksyen itu boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tokoh akademik itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian yang membolehkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Kok Seong akan dirakam keterangan dalam masa terdekat.

Sebelum itu Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mendesak polis menyiasat Kok Seong berikutan kenyataannya.

Ketika perbahasan di Dewan Rakyat, Teresa membidas kenyataan Kok Seong yang didakwa bersifat rasis yang dibimbangi menegangkan hubungan antara Melayu dan Cina di negara ini. – MalaysiaGazette