PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman tiga pemilik syarikat termasuk dua berpangkat Datuk kerana disyaki memberi rasuah kepada penjawat awam bagi tujuan tidak mengambil tindakan terhadap penyeludupan tembakau, rokok dan arak melalui pintu masuk negara.
Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 17 Mac 2024 terhadap suspek pertama manakala bagi suspek kedua dan ketiga yang bergelar Datuk mendapat perintah reman selama satu hari bermula hari ini yang dikeluarkan oleh Majistret Khairunnisa Kasa selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai ditahan semalam kira-kira 11.30 malam di pejabat SPRM Putrajaya ketika diminta hadir memberi keterangan.
“Kesemua suspek ini ditahan dan direman susulan daripada operasi khas yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bermula pada Isnin lalu.
“Mereka yang ditahan dipercayai memberi wang rasuah kepada penjawat awam yang terlibat dan telah melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2018 hingga 2023,” katanya.
Susulan operasi ini, AML SPRM turut menyita pelbagai barangan seperti telefon bimbit, komputer riba, komputer peribadi, wang tunai, rumah dan beberapa buah kereta mewah.
Sindiket ini dipercayai menggunakan modus operandi dengan menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.
Sementara itu, SPRM turut mendapat kebenaran untuk menyambung reman dua lagi suspek yang telah ditahan pada Isnin dan Selasa lalu berhubung kes yang sama.
Perintah reman selama satu hari bermula hari ini terhadap kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an dikeluarkan oleh Majistret Khairunnisa Kasa selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tiga suspek tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette