Gambar kesan luka pada badan mangsa culik yang dipukul.

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki tempatan ditahan hari ini, dipercayai ada kaitan dengan kes seorang remaja dipukul dan diculik  di sebuah taman perumahan di Kota Masai, Johor semalam yang tular di media sosial.

Tangkapan itu dibuat susulan rakaman video tular yang dimuatnaik oleh pengendali akaun Facebook Yeen Yazid semalam.

Berdasarkan rakaman itu, mangsa yang berusia 17 tahun telah dipukul dengan objek dipercayai topi keledar serta ditarik masuk ke dalam bonet kereta dan kemudian dibawa pergi dari lokasi kejadian.

Siasatan awal polis mendapati mangsa dibawa ke sebuah rumah lain di kawasan berhampiran dan dipukul dengan kayu cota dan beberapa objek lain.

Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan lebam pipi kanan, leher, bahu dan belakang badan serta pendarahan di telinga kiri.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Mohd Suhaimi Ishak berkata, tiga suspek  berusia antara 15 hingga 37 tahun  ditahan di lokasi berasingan di Pasir Gudang.

Salah seorangnya mempunyai 26 rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah dan dadah.

Saringan air kencing terhadap suspek juga didapati positif dadah methamphetamine.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik; Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata dalam rusuhan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan disebabkan mendatangkan kecederaan dengan senjata.

Mohd Sohaimi berkata, siasatan masih diteruskan untuk mengetahui motif kejadian.

Usaha juga dilakukan untuk mengesan dan menangkap suspek-suspek yang masih bebas. – MalaysiaGazette