Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis mendapatkan perintah sambung reman ke atas bekas pelajar perubatan yang menikam mati teman lelakinya di Rimbayu Pirennia, Kota Kemuning, Shah Alam disambung sehingga 22 Mac ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supterintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, suspek berusia 26 tahun yang juga model sambilan dihadapkan ke mahkamah hari ini memandangkan tempoh remannya tamat hari.

Tambah beliau, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

“Kita akan melengkapkan kertas siasatan dan akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya(TPR) dalam minggu ini sebelum reman suspek tamat untuk arahan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian pada 11 Mac lalu, polis menerima panggilan lelaki tempatan yang bekerja sebagai doktor perubatan di Hospital Cyberjaya mengenai penerimaan mangsa lelaki tidak sedar diri dengan kesan tikaman di badan yang penuh berlumuran darah.

Siasatan mendapati mangsa seorang jurugambar bebas disyaki dibunuh oleh teman wanitanya dengan dikelar di pergelangan tangan kiri dan kaki kiri.

Polis kemudian membuat tangkapan ke atas suspek wanita itu yang juga teman wanita mangsa di pekarangan Hospital Cyberjaya untuk membantu siasatan.

Siasatan awal polis mendapati motif kejadian adalah suspek cemburu selepas mangsa yang dicintai selama tiga tahun itu dipercayai curang dengan mengadakan hubungan cinta dengan perempuan lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast