GENEVA – Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merayu kepada Israel `atas nama kemanusiaan’ supaya tidak melancarkan serangan ke atas Rafah yang kebanyakan penduduk Gaza berlindung di situ.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, pihaknya amat prihatin dengan laporan rancangan Israel untuk meneruskan serangan darat ke atas Rafah.
“Keganasan yang semakin meningkat di kawasan yang padat penduduk ini akan membawa kepada lebih banyak kematian dan penderitaan.
“Atas nama kemanusiaan, kami merayu kepada Israel untuk tidak meneruskan dan sebaliknya berusaha ke arah keamanan,” katanya di platform X, semalam.
Tedros menambah, pemindahan yang dirancang oleh tentera Israel sebelum melancarkan serangannya bukan penyelesaian yang praktikal.
Menurut beliau, seramai 1.2 juta penduduk di Rafah tidak mempunyai tempat yang selamat untuk dipindahkan.
“Bencana kemanusiaan ini tidak boleh dibiarkan menjadi lebih teruk,” katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu meluluskan “rancangan tindakan di Rafah” tentera, menurut satu kenyataan yang tidak memberikan butiran atau garis masa.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat juga berulang kali memberi amaran terhadap operasi ketenteraan sedemikian.
Netanyahu telah berminggu-minggu berikrar untuk meneruskan perang, selepas berjanji untuk memusnahkan Hamas susulan serangan 7 Oktober oleh pejuang Islam. – Agensi