BENTONG – Dua kenderaan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4.9 Jalan Genting Highlands pada malam semalam.
Ketua Polis Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kedua-dua pemandu kenderaan Nissan dan Perodua itu dilaporkan tidak mengalami kecederaan yang serius.
“Hasil siasatan pihak polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Nissan yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun dari arah Goh Tong Jaya menuju ke Genting Highlands.
“Apabila kereta tersebut sampai di selekoh kiri, ia hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta jenis Perodua yang datang dari arah bertentangan,” katanya.
Susulan itu Zaiham memohon kerjasama semua pihak yang menyaksikan kejadian nahas agar tampil membantu siasatan.
Terdahulu tular rakaman insiden selepas kemalangan berdurasi 42 saat yang menggambarkan seorang lelaki mengamuk dan memaki hamun pemandu kereta Nissan berkenaan. – MalaysiaGazette