Gambar Hiasan

JASIN – Dua pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan selepas mengaku mencuri sebuah motosikal di Kampung Tedong, Merlimau Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, dua pelajar tingkatan empat itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di rumah mereka sekitar pada pukul 5 dan 6 pagi Sabtu lalu.

Menurutnya, tangkapan dibuat susulan menerima laporan daripada seorang peniaga berusia 52 tahun mengenai kehilangan motosikalnya jenis Yamaha Lagenda 115 yang diletakkan di hadapan rumah.

“Susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin dibantu anggota Balai Polis Merlimau telah berjaya menahan kedua-dua suspek.

“Mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di Taman Serkam Indah dan Jalan Masjid Tedong, Merlimau pada pukul 5 dan 6 pagi Sabtu lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Ahmad Jamil, hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku telah mencuri motosikal peniaga tersebut selain polis turut merampas dua buah motosikal lain yang disyaki digunakan untuk melakukan jenayah.

“Kedua-dua pelajar terbabit direman sehari bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian di bawah Seksyen 379A kanun Keseksaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette