Badaruddin ketika berucap sebelum merasmikan program Seminar Keluarga Bahagia: Membina Keluarga Ramadan peringkat negeri Melaka di Auditorium Al Azim, Melaka, hari ini.

MELAKA – Faktor ketidaksefahaman, selain sifat mementingkan diri sendiri atau ego dikesan antara punca utama kes perceraian di negeri ini tahun lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Badaruddin Mohd Kassim berkata, statistik pendaftaran perceraian dan rujuk orang Islam di Melaka tahun lalu merekodkan sebanyak 959 kes perceraian.

“Walaupun angka ini menurun sedikit berbanding 1,036 pada 2022, JAIM memandang serius melihat kepada punca utama perceraian antaranya adalah disebabkan ketidaksefahaman selain sifat ego.

“Biarpun perceraian adalah jalan terakhir yang diharuskan dalam Islam, namun kita turut dinasihatkan berhati-hati dan cuba mengelak daripada sifat terburu-buru,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian program Seminar Keluarga Bahagia: Membina Keluarga Ramadan peringkat negeri Melaka di Auditorium Al Azim, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Badaruddin berkata, natijah yang akan terhasil akibat daripada perpisahan pasangan suami isteri bukan sekadar memberi tempias kepada mereka semata-mata.

“Sebaliknya, ia turut memberi impak kepada zuriat yang ditanggung apabila anak-anak mendambakan belaian kasih sayang kedua ibu bapa untuk menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat.

“Justeru, saya menyeru kepada semua untuk kita saling memupuk sifat persefahaman antara ahli keluarga, sekaligus mengikis tabiat suka membesarkan perkara remeh yang boleh menimbulkan pertelingkahan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast