Lakaran artis PSI.

GEORGE TOWN – Pertubuhan Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI) mempersoalkan dakwaan Penang Infrastructure Corporation (PIC) berhubung kadar pendaftaran tinggi untuk Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) yang menunjukkan sokongan bagi Pemilik Projek Penambakan Pulau Silikon (PSI).

JEDI dalam satu kenyataan media memaklumkan, pertikaikan itu timbul susulan hasil tinjauan dan interaksi dibuat pihaknya dengan nelayan pantai terjejas akibat projek itu memberi gambaran berbeza.

Katanya, sejak penambakan dimulakan pada September tahun lalu, nelayan melaporkan berlaku penurunan ketara dalam kadar tangkapan terutamanya bagi udang besar yang tinggi nilainya.

“Ramai nelayan sebelum ini menentang penambakan kini menghadapi dilema sama ada teruskan bantahan mereka terhadap projek penambakan yang sedang dijalankan dan mengalami kadar tangkapan yang rendah atau dengan berat hati mendaftar untuk pembayaran ex-gratia SIMP sebelum permohonan ditutup secara kekal.

“Peningkatan dalam pendaftaran SIMP ini bukanlah tanda sokongan terhadap projek tetapi mencerminkan kesan buruk penambakan terhadap mata pencarian nelayan.

“Dengan hasil tangkapan yang semakin berkurangan menjelang pula Hari Raya Aidilfitri yang semakin hampir, ramai yang memilih pilihan yang kedua,” katanya hari ini.

Mengikut data yang diberikan, purata tangakap udang pada Januari tahun ini menurun mendadak iaitu 120.91 kilogram (kg) berbanding 286.04 kg pada Januari tahun lalu.

Tambah JEDI, dakwaan PIC bahawa tinjauan komprehensif mereka tidak menunjukkan apa-apa kesan ke atas tangkapan nelayan juga tidak meyakinkan, memandangkan kegagalan mereka memberikan sebarang data sokongan.

“Kekurangan ketelusan ini amat berbeza dengan data yang dikeluarkan oleh Unit Nelayan Sungai Batu.

“Data mereka menunjukkan penurunan ketara dalam tangkapan udang bagi Januari tahun ini berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya, serentak dengan permulaan projek penambakan.

“Berdasarkan penemuan ini, JEDI menggesa Jabatan Perikanan dan Jabatan Alam Sekitar menjalankan siasatan segera ke atas kesan projek penambakan Pulau Silikon terhadap tangkapan udang rendah yang dilaporkan oleh Unit Nelayan Sungai Batu dan nelayan lain yang terjejas,” tegasnya.

Projek PSI yang sebelum ini dikenali sebagai Penang South Reclamation (PSR) adalah projek mega melibatkan tambakan bagi mewujudkan tiga pulau dengan keluasan 1,821 hektar di kawasan selatan Pulau Pinang.

Projek tersebut yang mula diperkenalkan pada 2015 merupakan modul pembiayaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion selepas SRS Konsortium dilantik sebagai PDP untuk PTMP pada 14 Ogos 2015. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast