Lim Hui Ying
Lim Hui Ying

KUALA LUMPUR – Mekanisme pelaksanaan pemberian subsisdi bersasar masih dalam pertimbangan dan dijangka tidak meningkatkan kos kepada industri sedia ada.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying juga menegaskan kerajaan akan tetap menitikberatkan aspek pelaksanaan dan komunikasi berkesan kepada pihak industri agar tidak menyebabkan sebarang kejutan ekonomi.

Menurut beliau, pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar itu akan dibuat secara berperingkat, tertakluk kepada ketersediaan berasaskan model bersesuaian dan kebolehlaksanaan serta mengekalkan fokus kerajaan dalam memastikan kos sara hidup rakyat tidak terjejas.

“Seperti diumum dalam Belanjawan 2024, kerajaan akan menumpukan penyasaran subsidi diesel terlebih dahulu melalui kaedah dan mekanisme diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup (KPDN) pada 6 Mac lalu.

“Perluasan pemberian di bawah Sistem Kawalan Subsidi Diesel 2.0 (SKDS 2.0) kepada sembilan jenis kenderaan barangan dibuka untuk permohonan bermula 7 Mac lalu dan dijangka memanfaatkan lebih 260,000 kenderaan.

“Sejak 8 Mac sehingga 16 Mac (kelmarin), sejumlah lebih 5,800 syarikat dengan lebih 34,400 bilangan kenderaan mendaftar dalam SKDS 2.0,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang meminta Menteri Kewangan memberi butiran mengenai kaedah yang akan dilaksanakan oleh kerajaan dalam memperkenalkan skim subsidi bersasar.

Mengulas selanjutnya, Hui Ying berkata, jumlah perbelanjaan subsidi diesel tahun lalu mencecah RM14.3 bilion, yang mana jumlah penggunaan meningkat kepada 10.8 bilion liter setahun berbanding 6.1 bilion liter pada 2019 tahun sebelum pandemik Covid-19.

“Peningkatan jumlah penggunaan sebanyak 70 peratus ini dilihat tidak selari dengan pertambahan bilangan kenderaan diesel yang hanya mencatat peningkatan kurang tiga peratus.

“Ini mengukuhkan dakwaan ketirisan subsidi diesel adalah sangat besar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast