Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad

KUANTAN – Tiada sebarang aktiviti ajaran sesat oleh pengikut ‘Kerajaan Langit’ oleh Ayah Pin dikesan di Pahang seperti yang ditularkan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad menyangkal dakwaan terdapat gerakan ajaran sesat itu yang dikatakan merebak di Rompin dan Pekan.

“Bekas-bekas pengikut Ayah Pin duduk di situ secara kebetulan, aktiviti memang tiada di situ, mereka beraktiviti di luar Pahang.

“Pemantauan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan terbabit memang dilakukan sejak dari dulu sejak mereka (bekas pengikut Ayah Pin) dilaporkan tinggal di sini.

“Bukan itu sahaja, pemantauan secara rapat diadakan secara berterusan bagi mengekang aktiviti ajaran sesat,” tegasnya.

Syed Ibrahim berkata kepada MalaysiaGazette ketika diminta reaksi behubung laporan mengatakan pengikut ‘Kerajaan Langit’ kini mengukuhkan kawasan asal di Terengganu termasuk turut bertapak di Pahang.

Semalam media melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, risikan pihak berkuasa mendapati gerakan ajaran sesat Ayah Pin telah mula bertapak di Pekan dan Rompin, Pahang.

Untuk rekod pengasas kumpulan ajaran sesat itu, Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad telah meninggal dunia akibat sakit tua pada 22 April 2016.

Namun difahamkan ajaran Ayah Pin cuba dihidupkan kembali oleh pihak tertentu di sekitar Besut menerusi satu hantaran pada akaun Facebook ‘Imam Muda Kulan’.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebelum ini mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan diwartakan haram pada 1997. – MalaysiaGazette