KUALA LUMPUR – Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka turun semula kepada RM3,800 hingga RM4,000 setiap tan metrik pada April 2024 daripada paras semasa RM4,250 setiap tan, kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
Kejatuhan harga itu disebabkan bekalan kacang soya dari Amerika Selatan yang lebih daripada mencukupi mula memasuki pasaran global pada April dan seterusnya, serta pengeluaran minyak sawit di Malaysia yang mengalami pemulihan bermusim secara beransur-ansur, katanya.
“Memandangkan musim pengeluaran minyak sawit yang rendah berakhir pada Mac, harga minyak sawit mungkin mencerminkan pemulihan dalam tahap pengeluaran dan inventori pada April dan Mei, yang berpotensi mengehadkan harga minyak sawit.
“Selain itu, premium harga minyak sawit berbanding minyak campuran terus meningkat pada Mac dan telah melepasi harga tiga minyak campuran utama secara serentak di pasaran Eropah sejak Februari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut MPOC, harga MSM didagangkan pada premium US$40 hingga US$95 setan (US$1=RM4.72) mengatasi harga minyak campuran pada Mac 2024, oleh itu, pemulihan harga minyak campuran pada April 2024 dijangka mengecilkan tebaran harga.
“Harga MSM melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 12 bulan pada 15 Mac, 2024, melebihi hampir 10 peratus daripada harga penutup Februari 2023.
“Trend harga yang kukuh dapat disaksikan pada suku pertama 2024, sebahagian besarnya disebabkan oleh dinamik pertumbuhan bekalan yang defisit,” katanya.
Pada 2024, MPOC berkata pengeluaran minyak sawit global diunjurkan meningkat pada paras minimum sebanyak 0.11 peratus, manakala pertumbuhan pengeluaran minyak kacang soya dijangka meningkat sebanyak 2.88 peratus, minyak biji sesawi berkembang sebanyak 3.48 peratus, dan minyak bunga matahari berkembang 3.94 peratus.
Dari segi inventori, ia berkata stok minyak sawit Malaysia meneruskan trend penurunan pada Februari 2024, turun lima peratus kepada 1.919 juta tan, menandakan tahap terendah stok yang direkodkan sejak Julai 2023.
“Pengurangan dalam inventori minyak sawit pada Februari disebabkan oleh import yang berkurangan dan penggunaan domestik yang kukuh,” katanya.
MPOC mengatakan tidak mungkin stok minyak sawit Malaysia akan mengalami sebarang pertumbuhan pada Mac berikutan penggunaan domestik yang teguh, terutamanya pada bulan Ramadan, manakala pengeluaran pula dijangka tidak meningkat sehingga April dan pada bulan seterusnya. – BERNAMA