Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai penguat kuasa sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM12,000.

Perbuatan tersebut sebagai balasan tidak mengambil tindakan kepada seorang pemilik restoran yang meletakkan meja dan kerusi tambahan di kawasan parkir kereta di restoran tersebut.

Sumber memberitahu, suspek seorang lelaki berusia 40-an dipercayai ditahan petang semalam di sekitar Selangor.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak November 2023 hingga kini dan meminta serta menerima bayaran tunai secara bulanan sebanyak kira-kira RM2,000.

“Siasatan juga mendapati suspek dipercayai sering menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp pada setiap bulan kepada pemilik restoran tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas pegawai tersebut.

Beliau menegaskan bahawa kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

“Suspek berkenaan akan dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya direkodkan,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast