Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memanggil Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr KK Chai berhubung isu kalimah Allah pada stoking yang dijual di sebuah rangkaian kedai miliknya.

Ketua Pengarah Jakim, Datin Paduka Hakimah Mohd Yusof berkata, pengasas kedai serbaneka itu juga telah diberi amaran keras agar perkara yang berlaku tidak berulang.

“Pihak syarikat juga telah memberi penjelasan mengenainya dan langkah-langkah untuk mengelakkan isu seumpama ini berulang.

“Pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd juga bersetuju untuk mengkaji dan mengemas kini semula Prosedur Operasi Standard syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hakimah lagi, Jakim sebagai institusi yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan memandang serius terhadap isu berkenaan kerana telah mengguris hati umat Islam di negara ini.

Malah katanya, ia bukan sahaja melibatkan sensitiviti keagamaan malahan, boleh menggugat keharmonian masyarakat di negara ini.

Sehubungan itu beliau menegaskan, Jakim memberi peringatan kepada semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport untuk sentiasa cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum bagi mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat keseluruhannya di Malaysia.

“Semua pihak dinasihatkan untuk tidak membangkitkan isu-isu lama yang menyentuh aspek 3R (agama, raja dan kaum) dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan,” tambahnya. – MalaysiaGazette