KUALA LUMPUR – Kedah Agro Holdings berdepan masalah sejak tahun 2016 dan 2017 seperti yang dilaporkan oleh Laporan Audit Negara sebelum ini.
Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, masalah anak syarikat Menteri Besar Incorporated itu kini terpaksa ditanggungkan kerajaan negeri Kedah hari ini sedangkan ia berlaku di bawah pentadbiran kerajaan lain.
Mengikut rekod, kerajaan negeri pada tahun 2016 dan 2017 dipimpin Barisan Nasional yang mana Menteri Besarnya adalah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
“Kes Kedah Agro Holdings ini sejak 2016-2017, ia tersebut dalam Laporan Audit Negara dan disebut dengan jelas pada waktu itu ia memang bermasalah. Dan dosa orang lama dipikul dan dicuci oleh kerajaan hari ini.
“Tadi yang YBM (Yang Berhormat Menteri – Steven Sim) sebut dia, telah mendengar taklimat dari pihak syarikat akan buat bayar gaji tertunggak sebelum Aidilfitri
“Dan YBM sebut jangan tindas pekerja, jangan lepas persepsi di Dewan Rakyat sebab itu saya bangun dalam dewan jangan kelirukan dewan. Menteri kena jawab profesional kalau hendak jawab secara emosi jawab di pentas ceramah, tidak ada masalah.
“Tapi datang Parlimen atas tugas dan tanggungjawab menteri, itu sepatutnya menteri dalam kerajaan Madani buat kerja. Itu saya bangkit di Parlimen tadi,” katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.
Pada sesi pagi, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, Kedah Agro Holdings telah memberi jaminan akan membayar gaji tertunggak kira-kira RM560,000 kepada 24 pekerja sebelum sambutan Aidilfitri bulan depan.
Sim berkata, mesyuarat lembaga pengarah Kedah Agro Holdings kelmarin juga memutuskan untuk menghentikan operasi anak syarikat Menteri Besar Incorporated itu.
“Justeru faedah penamatan dan gaji ganti notis akan dibayar dalam tempoh tiga bulan mulai Mac 2024.
“Pekerja juga telah dinasihatkan untuk memfailkan kes buruh bagi tuntutan gaji terhadap majikan dan JTKSM (Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Manusia) akan membuka siasatan sekiranya ada laporan difailkan dibawah Seksyen 19 Akta Kerja atas kesalahan pembayaran gaji lewat.
“Jika sabit kesalahan majikan boleh didenda tidak lebih RM50,000 setiap pertuduhan bawah Seksyen 99A Akta yang sama,” katanya di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette