KUALA LUMPUR – Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) milik Pas adalah aktiviti sukarelawan yang melibatkan ahli parti dan tidak membabitkan aktiviti antara pekerja dan majikan serta bukan aktiviti perniagaan.
Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pihaknya kini hairan mengapa selepas 40 tahun penubuhan secara sah, Pasti telah ditekan sejak akhir-akhir ini di bawah Menteri Sumber Manusia yang baharu.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas memberitahu, pihaknya tidak mahu menuduh wujud satu agenda lain namun tidak mahu masyarakat melihat kerajaan sedia ada tidak begitu selesa atau suka kepada pendidikan Islam pra sekolah.
“Menteri tidak jawab soalan saya, apa tujuan dibuat siasatan di premis Pasti, keluar memo dari Kementerian Sumber Manusia mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja (Semenanjung Malaysia) melakukan pemeriksaan di semua premis Pasti.
“Saya ada beberapa fakta dan dokumen yang boleh jadi bukti yang pertama Pasti bukan entiti perniagaan atau sebuah tadika, Pasti merupakan aktiviti parti Pas untuk anak-anak ahli dan penyokong Pasti seperti peruntukan di bawah fasal 62 Perlembagaan Pasti pindaan 2020.
“Yang kedua program aktiviti Pasti ini diiktiraf di bawah peruntukan undang-undang sedia ada di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 yang menyebut keputusan parti politik adalah muktamad dan konklusif dan itu punca kuasa yang diberikan kepada Pas untuk menjalankan aktiviti Pasti,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim sebelum itu di Dewan Rakyat yang mana kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan termasuk ke atas parti politik dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku perlanggaran hak pekerja.
Beliau menjelaskan, pendirian kerajaan kekal dan komited dalam memperjuangkan nasib pekerja yang berhak ke atas gaji mereka dan ia bukan satu perkara yang boleh diambil mudah.
Ia berkaitan satu memo daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia yang tular mengenai satu arahan siasatan pemeriksaan berkanun terhadap Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) selain Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam atau SMITI yang didakwa membayar gaji rendah kepada kakitangan di bawah daripada kadar gaji minimum iaitu RM1,500
Guru-guru Pasti dikatakan dibayar serendah RM500 bergantung kepada yuran yang dibayar ibu bapa dan yurannya pula berbeza mengikut kawasan bandar atau pedalaman.
Mereka tidak mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain tidak mempunyai pencen dan dikatakan tidak dibayar tuntutan kerja lebih masa.
Pasti merupakan pusat pendidikan prasekolah yang dikelola oleh Jabatan PASTI di bawah Dewan Pemuda Pas Malaysia.
Mengulas lanjut, Afnan Hamimi menambah, Pasti telah wujud sejak 1984 dan memiliki alumni seramai 1.1 juta serta jumlah ribuan murid dan guru.
Beliau juga yakin sebahagian warga Malaysia menghantar anak mereka ke Pasti walaupun tidak diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai tadika atau institusi pendidikan swasta di bawah Akta Tadika 1996.
“Ini menyebabkan ibu bapa pelajar Pasti tidak dapat rebat atau pelepasan cukai individu permastatutin dari LHDN di bawah kategori anak di bawah umur enam tahun ke bawah kerana Pasti bukan sebuah tadika.
“Yang seterusnya Pasti bukan bermotifkan keuntungan dan bayaran dikenakan untuk tampung makan dan minum, aktiviti, kebajikan dan kos-kos lain termasuk sewaan dan penyelenggaran premis.
“Semua datang dari yuran dan minima dan derma orang ramai setiap masa. Pelajar Pasti dibenarkan datang dan tidak akan dibuang kalau dia tidak hadir atau tidak buat bayaran dan menunjukkan ia aktiviti sukarelawan dan bentuk kebajikan Pas dalam pendidikan.
“Guru-guru yang juga mengikut tempoh yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan aktiviti. Pasti bukan majikan dan guru Pasti bukan pekerja seperti yang ditaksirkan oleh Seksyen 2 Akta Pekerja 1955 sebaliknya guru pasti adalah sukarelawan yang dipilih dan dilantik di kalangan ahli Pas secara sukarela kepada Pas,” katanya. – MalaysiaGazette