Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak

KUALA LUMPUR – Datuk Farhash Wafa Salvador menjelaskan pegangan saham yang yang dimilikinya dalam HeiTech Padu Bhd melalui syarikat Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikkan bersama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

“Untuk rekod Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikan penuh syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd yang mana ia dimiliki secara bersama oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V dan saya, bukannya milikan saya sendiri seperti yang didakwa segelintir ahli-ahli Parlimen pembangkang,” kata bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Jelasnya, pemilikan saham ini juga merupakan sebahagian daripada strategi pelaburan antara Sultan Muhammad V dan beliau untuk membantu syarikat-syarikat bumiputera.

Tambahnya, beliau sudah tidak sesekali terlibat dengan mana-mana bahagian pentadbiran kerajaan dan aktiviti politik.

Fokus penuh beliau ketika ini adalah pada bidang perniagaan dan korporat.

“Tujuan kenyataan saya ini adalah untuk menyangkal dan menjawab pelbagai tohmahan mengenai saya terutamanya tohmahan-tohmahan yang telah dilemparkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas,” ujarnya.

Semalam, Ahli Parlimen Pas, Ahmad Fadhli Shaari ketika perbahasan di Dewan Rakyat mengesyorkan pihak-pihak yang mempunyai wang yang banyak boleh sponsor kepada pelajar untuk mempromosi diri mereka di dalam universiti.

Katanya, pendedahan terhadap pengurusan kewangan yang bagus mampu melahirkan belia yang hebat seperti bekas setiausaha kepada perdana menteri, yang muncul sebagai pemegang saham utama dalam HeiTech Padu Bhd dengan 15.9 peratus kepentingan dalam syarikat itu.

“Dalam usia yang muda muncul sebagai jutawan yang hebat. Ini satu contoh yang baik,” katanya yang merujuk kepada Farhash.

Minggu lalu, media melaporkan Farhash muncul sebagai pemegang saham utama syarikat itu selepas memperoleh kepentingan tidak langsung sebanyak 15.9% (16.1 juta saham) dalam penyedia perkhidmatan teknologi tersebut.

Namun, berita itu ditarik balik. – MalaysiaGazette