BUTTERWORTH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menumpaskan cubaan penyeludupan masuk rokok putih bernilai RM7.92 juta termasuk cukai di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor.
Kegiatan penyeludupan itu terbongkar selepas pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah kontena yang berlabuh di pelabuhan itu pada 7 Mac lalu kira-kira 10.40 pagi.
Pengarah Kastam negeri, Roselan Ramli berkata, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan sembilan juta batang rokok yang disyaki berasal dari salah sebuah negara di Asia Tenggara.
Siasatan awal mendapati kontena tersebut dikendalikan sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di pelabuhan tersebut dan diimport oleh sebuah syarikat berstatus Sdn. Bhd. di negeri sama.
“Modus operandi digunakan sindiket adalah dengan mengikrar dagangan itu sebagai perabot bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Semakan lanjut mendapati, kontena ini dibawa masuk ke Malaysia tapi kita tak pasti untuk dihantar ke mana namun saya percaya kemungkinan besar ia digunakan pekerja larangan serta tapak pembinaan.
“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk duit kastam dianggarkan RM7.92 juta,” katanya pada sidang media di stor penguatkuasaan Bagan Jermal di sini hari ini.
Tambah Roselan, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan tersebut.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.
Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat. – MalaysiaGazette