KUALA LUMPUR – Notifikasi tiga produk kosmetik dibatalkan dan tidak lagi dibenarkan dijual dalam pasaran selepas dikesan mengandungi racun berjadual oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Tiga produk berkenaan adalah Toner Treatment EWSB yang didapati mengandungi Hydroquinone dan Tretinoin; N Glow EWSB (mengandungi Hydroquinone, Tretinoin dan Betamethasone 17-Valerate) dan Glory Cosmetics Facecream yang mempunyai bahan merkuri di dalamnya.

Sehubungan itu Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan menggesa supaya orang awam tidak membeli dan menggunakan tiga produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan penjual dan pengedar ketiga-tiga produk kosmetik berkenaan supaya menghentikan penjualan serta merta.

Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. -MalaysiaGazette