MELAKA – Seorang pembantu tadbir kanan sebuah sekolah direman tujuh hari kerana disyaki menggunakan jawatannya memberikan kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan di sekolah tersebut berjumlah RM125,158 kepada syarikat anaknya empat tahun lalu.
Perintah reman bermula hari ini sehingga Isnin depan dikeluarkan Majistret Mahkamah Melaka, Khairunnisak Hassni terhadap suspek yang berusia 54 tahun.
Menurut sumber siasatan mendapati, wujud beberapa lagi kerja-kerja pembekalan bagi tahun 2019, 2021 dan 2022 yang menggunakan modus operandi yang sama oleh wanita itu.
Suspek telah ditahan pada pukul 2.40 petang semalam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Terdahulu, suspek tiba di mahkamah menaiki van khas atau Special Purpose Vehicle (SPV) pada pukul 9.55 pagi.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek. – MalaysiaGazette