Logo bernas
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mulai hari ini Padiberas Nasional Berhad (Bernas) telah melaksanakan pelarasan harga jualan beras putih import (BPI) di pintu gudang Bernas di Semenanjung Malaysia daripada RM3,200 kepada RM3,000 per tan metrik.

Langkah ini untuk memastikan berlakunya penurunan harga jualan BPI di antara RM2 hingga RM3 bagi setiap kampit 10 kilogram di peringkat runcit.

Bernas berkata, pelarasan ini membuktikan komitmen Bernas dalam menjamin ketersediaan produk walaupun trend harga BPI masih berlegar di paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun lepas.

Bernas yang menyambut baik keputusan kerajaan untuk melaksanakan pelarasan harga beras putih bergerak seiring dengan pengumuman kerajaan dan kekal berdedikasi dalam memastikan bekalan beras yang mencukupi dan stabil untuk isi rumah di seluruh negara serta turut memuji langkah intervensi kerajaan dalam meningkatkan pengedaran beras putih tempatan.

“Bernas mengulangi pendiriannya untuk terus meyokong dan mendokong agenda keterjaminan makanan serta bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan pemain industri.

“Syarikat juga mengulangi komitmennya terhadap pelan jangka panjang KPKM, mengutamakan kebajikan pesawah dan mengekalkan kelestarian rantaian bekalan beras di dalam negara.

“Bernas kekal fokus dalam memenuhi obligasi sosialnya dalam mengurus stok penimbal dan beroperasi sebagai pembeli beras terakhir daripada pesawah dengan mengutamakan kepentingan negara walaupun berdepan dengan keadaan pasaran global yang tidak menentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, KPKM mengumumkan harga jualan runcit BPI turun di antara RM2 hingga RM3 di pasaran berkuat kuasa hari ini, 20 Mac 2024.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keputusan itu dimuktamadkan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

Menurut beliau, pelarasan ini merupakan langkah intervensi yang dilaksanakan oleh KPKM bagi menangani isu kekurangan beras putih tempatan (BPT) di pasaran susulan pelarasan BPI oleh Bernas pada September 2023. – MalaysiaGazette