Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR –  Ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang dan kadar inflasi kekal sederhana dipacu oleh pertumbuhan global yang mampan, perbelanjaan dalam negeri berdaya tahan dan pemulihan aktiviti perdagangan.

Faktor-faktor ini memberi manfaat kepada aktiviti eksport negara ini secara tidak langsung akan menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Menurut Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 2023, keadaan ekonomi yang menggalakkan pada tahun 2024 akan membuka ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur seperti yang telah diumumkan sebelum ini.

Pelaksanaan pembaharuan seperti rasionalisasi subsidi penting untuk mengukuhkan ekonomi dan memberikan manfaat jangka masa panjang kepada Malaysia sekira berlakunya apa-apa krisis dalam negara.

Disebabkan dasar dalam negeri berkaitan subsidi serta kawalan harga akan dikaji dan mempunyai kemungkinan untuk diselaraskan semula, ini boleh memberikan kesan kepada hala tuju inflasi pada masa hadapan.

BNM juga akan terus kekal berwaspada terhadap kemungkinan untuk berlakunya rintangan global dan cabaran baru yang mampu mendatangkan risiko kepada prospek ekonomi Malaysia.

“Kami akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi dalam negeri yang mampan untuk jangka panjang dalam keadaan stabil.

“Operasi pertukaran asing dan monetari juga akan terus memastikan mudah tunai mencukupi dalam pasaran pertukaran asing, wang dan bon kerajaan,” katanya dalam laporan itu.

Kesemua ini dipercayai akan melengkapkan dasar lain BNM untuk memastikan pasaran domestik dan pengantaraan kewangan berfungsi dengan lancar.

“Pihak BNM juga akan terus memberi komitmen untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan mengenai langkah-langkah dasar yang berkaitan, terutamanya pembaharuan struktur,” tegasnya lagi.

Usaha-usaha ini bukan sahaja dijalankan untuk menangani ekonomi dalam masa terdekat, tetapi sebagai langkah untuk turut meningkatkan daya ekonomi negara pada masa akan datang. – MalaysiaGazette