KUALA LUMPUR – Akibat merompak seorang wanita warga Jepun dan menggunakan kad bank mangsa untuk membeli empat paket rempah kari, seorang pekerja besi buruk dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu ke atas C. Selvam, 35, selepas dia mengaku bersalah bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, merompak sebuah beg milik Kayoko Shimada yang mengandungi kad bank, pasport, telefon bimbit dan wang tunai RM100 di kaki lima, Lorong Pudu 14 di Bukit Bintang di sini pada 7.10 pagi, 4 Mac.
Kesalahan itu mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Mahkamah turut memerintahkan Selvam menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 13 Mac.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira tertuduh telah menggunakan kad bank milik mangsa.
Peguam Kalwant Singh yang mewakili Selvam, memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau selain perlu menanggung keluarga.
“Anak guam saya telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama. Dia menggunakan kad bank (mangsa) untuk membeli empat paket rempah kari bagi keperluan keluarganya,” kata peguam itu. – BERNAMA