KUALA LUMPUR – Semua masjid dan surau bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) disaran melaksanakan solat hajat bagi mendoakan perlindungan dan keselamatan berterusan buat rakyat Palestin sempena Ramadan.

Ia susulan kenyataan tegas dan konsisten yang dizahirkan kerajaan terhadap isu Palestin.

Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, solat hajat itu akan dilaksanakan pada Khamis (esok) selepas solat Isyak dan Jumaat selepas solat Jumaat setiap minggu sepanjang Ramadan bermula 21 Mac ini.

“Doa dan munajat ini merupakan lambang solidariti dan empati umat Islam berikutan penindasan dan kekejaman berpanjangan yang dilakukan oleh rejim Israel.

“Semoga tarbiah madrasah Ramadan dapat mencetuskan keinsafan kepada diri terhadap kesusahan yang dialami oleh umat Islam di seluruh dunia.

“Diharapkan ia menjadi detik bermakna untuk melipatgandakan amalan kebajikan dengan mengimarahkan masjid dan surau bagi meraih ganjaran pahala,” katanya dalam kenyataan. – MalaysiaGazette