Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyantuni bekas Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Faridah Hitam yang kehilangan suami pada 11 Mac lalu di Petaling Jaya.

PETALING JAYA – Hubungan yang dibina oleh ahli politik dengan pengamal media harus ikhlas dan murni.

Silaturrahim yang terjalin antara pengamal media dan ahli politik juga bukan sekadar ketika ada perlunya sahaja.

Berteraskan semangat itu, Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam meluangkan masa menyantuni bekas Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Faridah Hitam, 71, di rumah beliau di Petaling Jaya, Selangor.

Dalam kunjungan tersebut, Ismail Sabri meluangkan masa lebih sejam bertanya khabar  Faridah yang kehilangan suami tercinta, Hassan Abdul Wahab, 81, pada 11 Mac lalu.

“Saya mengenali beliau (Faridah) sejak mula menjadi Ahli Parlimen Bera pada tahun 2004. Beliau banyak membantu saya menyampaikan maklumat dan membantu saya membina karier sebagai ahli politik.”

“Ziarah ini sebagai tanda kasih saya kepada beliau dan pengamal media yang lain atas jasa mereka membantu negara,” kata Ismail Sabri.

Faridah berkhidmat lebih 30 tahun di akhbar terulung Utusan Malaysia bermula tahun 1977 hingga 2008. Beliau juga pernah menerajui akhbar hujung minggu paling laris jualannya iaitu Mingguan Malaysia pada Januari 2000 sebagai Pengarang selama tiga tahun, dengan jumlah edaran yang pernah dicatat sebanyak lebih 700,000 naskah.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, Program Kongsi Rezeki Ramadan yang dilancarkan beliau pada tahun lalu akan diteruskan pada Ramadan kali ini.

“Program Kongsi Rezeki Ramadan 2024 dilangsungkan dengan inisiatif berbeza iaitu pada tahun ini fokus kita adalah untuk membantu bekas pengamal media yang kini sedang menghadapi ujian getir kehidupan.

“Insya-Allah, saya akan menziarahi beberapa orang lagi pengamal media yang uzur dan sedang diuji dengan cabaran getir kehidupan,” jelas beliau.

Melalui Program Kongsi Rezeki Ramadan yang dilancarkan Ismail Sabri pada tahun 2023, sebanyak 3,000 pek juadah berbuka puasa telah berjaya diagihkan, dengan 500 daripadanya diperuntukkan kepada petugas keselamatan berpendapatan rendah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast