Kompleks Mahkamah Melaka

MELAKA – Padah memiliki 17 keping wang kertas RM100 palsu, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama 20 bulan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hakim Azaraorni Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Md Ross Louis Hisham Louis, 48, yang mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati bersama-sama dua orang yang masih bebas, memiliki 17 keping wang RM100 siri nombor berlainan dengan menyedari ia adalah palsu dan berniat untuk menggunakannya sebagai tulen.

Kesalahan itu dilakukan di tepi Jalan Komersil TAKH 2, Taman Ayer Keroh, dekat sini, kira-kira pukul 5.30 petang 12 Februari 2022.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman dikenakan bermula daripada tarikh ditangkap pada 26 November 2023.

Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama 20 bulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast