PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KLUANG – Lima lelaki ditahan disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi dalam serbuan di Kampung Pisang, Machap, dekat sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh berkata, kesemua yang berusia antara 28 hingga 57 tahun ditahan pada 10 malam oleh pegawai dan anggota dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.

“Kesemua lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran memiliki, menyimpan atau membawa barang kawalan tanpa permit ketika serbuan dilakukan.

“Mereka juga gagal menunjukkan lesen atau kebenaran khas daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, turut dirampas ialah sebuah lori jenis Mitsubishi, serangkai anak kunci, enam tangki intermediate bulk container isipadu 1,000 liter di dalam lori dengan anggaran minyak diesel bersubsidi 3,500 liter serta motor pam berserta hos dan tangki dengan anggaran isipadu minyak diesel bersubsidi 17,000 liter.

Bahri berkata, kesemua rampasan dianggar bernilai RM130,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – Bernama