Bekas Ketua Unit Pejabat Pengurusan Fasiliti, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Puncak Alam didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan menerima suapan berbentuk sebuah kereta bernilai RM174,500 pada 15 tahun lalu.

SHAH ALAM – Bekas Ketua Unit Pejabat Pengurusan Fasiliti, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Puncak Alam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan berbentuk sebuah kereta bernilai RM174,500 pada 15 tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Saini Awang, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaikm sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan, Mohd Saini, selaku Jurutera Gred J44 dan Penyemak Tender di Pejabat Pengurusan Fasiliti, UiTM Kampus Puncak Alam didakwa menggunakan jawatan memperoleh untuk dirinya suapan kereta Honda Accord 2.4 i-VTEC.

Perbuatan itu sebagai dorongan untuk membantu syarikat AZ Villa Enterprise memperoleh tender melalui perolehan bernombor UiTM/PER/T/74/09 bagi kerja Perkhidmatan Bersepadu Pengurusan, Penyelenggaraan dan Operasi Bangunan di Zon 1 (Kolej Angsana), UiTM Kampus Puncak Alam, Selangor Selama Tiga Tahun, bernilai RM1,654,350 pada Mac 2009.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 terhadap tertuduh.

Peguam Faizal Rahman yang mewakili tertuduh merayu mahkamah menawarkan jumlah jaminan minimum dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan iaitu isteri tidak bekerja dan tiga anak yang masih bersekolah.

Hakim Awang Kerisnada kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam setiap awal bulan sehingga kes selesai.

Selain itu, Hakim turut mengarahkan agar tertuduh disekat aksesnya daripada rekod dan data termasuk peralatan komputer di tempat kerjanya ketika ini di UiTM Melaka.

Mahkamah juga menetapkan 25 April ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast