KUALA LUMPUR – Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan syabas kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Polis Johor susulan tindakan diambil berhubung isu penjulan sarung kaki tertera kalimah Allah yang tular baru-baru ini.
“Syabas. Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Polis Di Raja Malaysia kontinjen Johor sudah mengambil tindakan,” menerusi hantaran di media sosial Pemangku Sultan Johor itu dan turut berkongsi kenyataan PDRM dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.
Dalam kenyataan itu, Mohd Fared berkata, tindakan tegas dan hukuman yang seadilnya hendaklah dikenakan ke atas mereka yang bertanggungjawab mencemarkan kemuliaan nama Allah, tambahan lagi ia berlaku di bulan Ramadan.
“Dengan penuh kekesalan yang atas apa yang berlaku, saya memberi amaran dan peringatan kepada mana-mana pihak mahupun individu di khususnya di Johor agar jangan mempersenda atau mempermainkan kalimah Allah atau apa juga yang boleh mencemarkan kemuliaan agama Islam.
“Saya akan memastikan segala kekuatan perundangan berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 juga Perlembagaan Persekutuan serta Enakmen dan undang-undang yang berkuat kuasa ketika ini bagi membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan yang sewajarnya,” ujarnya dalam kenyataan.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, pihaknya telah merampas lima pasang stoking tertera kalimah Allah susulan pemeriksaan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Sri Gading, Batu Pahat.
“Hasil siasatan mendapati, pengurus kilang mendakwa stoking berkenaan telah diimport dari China.
“Berikutan itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A/505(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Terdahulu, beliau memaklumkan seramai 40 pegawai dan anggota polis Daerah Batu Pahat telah membuat serbuan menyeluruh di kilang terbabit.
Beliau juga menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketentaraman awam dan menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan serta tindakan lanjut. – MalaysiaGazette