SHAH ALAM – DAP Selangor akan menubuhkan satu jawatankuasa khusus bagi menguruskan pengebumian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu Lee Kee Hiong yang meninggal dunia hari ini.
Setiausaha DAP Selangor Ng Sze Han berkata jawatankuasa yang ditubuhkan bagi tujuan meringankan beban yang ditanggung keluarga mendiang itu akan diketuai oleh beliau sendiri dan dikoordinasi oleh Pemangku Ketua Wanita DAP Selangor Yeo Bee Yin.
“DAP Selangor berdukacita di atas pemergian Lee Kee Hiong, ADUN Kuala Kubu Baru pagi ini. Mendiang merupakan seorang wakil rakyat dan pemimpin wanita yang berprinsip dan berdedikasi.
“Mendiang telah menyandang kerusi DUN Kuala Kubu Baharu lebih 10 tahun. Pemergian mendiang adalah satu kehilangan yang amat besar kepada DAP Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ng berkata sebarang perkembangan mengenai upacara pengebumian akan dimaklumkan kemudian.
Sementara itu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Lau Weng San ketika dihubungi berkata secara teknikal pihaknya masih menunggu pengesahan daripada hospital berhubung pemergian ADUN Kuala Kubu Baharu itu.
Beliau berkata pemakluman rasmi mengenai kekosongan kerusi DUN kawasan itu hanya akan dibuat selepas mendapat pengesahan daripada pihak hospital.
Sementara itu Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Lee sambil mengimbau kenangan bersama mendiang yang dikenalinya sejak 1988.
Wee berkata beliau mengenali mendiang ketika sama-sama menjadi pemimpin mahasisiwa dan menyertai Kem Kepimpinan Mahasiswa Nasional di Pulau Pinang.
“Walaupun Kee Hiong menyertai DAP dan saya pula menganggotai MCA, tetapi itu bukan penghalang kepada persahabatan kami. Sebagai sahabat, sudah tentu saya juga terasa dengan pemergian mendiang.
“Sumbangan beliau kepada masyarakat khususnya di Selangor pasti dikenang! Tentunya khidmat beliau selaku ADUN selama beberapa penggal mencipta banyak memori khususnya buat masyarakat setempat,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Penyelaras Parlimen Hulu Selangor Dr N Sathia Prakash pula menerusi hantaran di Facebook berkata mendiang bukan nama asing bagi masyarakat di Hulu Selangor.
Beliau berkata keazaman dan kehebatan mendiang sewaktu membantu PKR semasa Pilihan Raya Umum yang lalu amat mereka hargai.
“Terima Kasih YB, jasamu sentiasa dikenang. Dulu, kini dan selamanya iron Lady Hulu Selangor,” menurut hantaran itu.
Lee, 58, yang menjadi ADUN Kuala Kubu Baharu sejak 2013 meninggal dunia pagi tadi selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.
Sementara itu, Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng dalam catatan melalui Facebook beliau berkata DAP kini kehilangan pemimpin wanita yang berkebolehan dan berani, setia dan kekal bersama-sama parti pada saat-saat paling sukar.
Lim berkata kepimpinan Lee yang cemerlang dapat dilihat daripada kepercayaan yang diberikan pengundi di Kuala Kubu Baharu bagi tiga penggal berturut-turut sejak 2013.
“Keluarga beliau kini kehilangan seorang isteri, anak perempuan dan adik perempuan yang penyayang dan penuh sifat belas. Salam takziah diucapkan buat keluarga Lee,” katanya.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke juga menyifatkan pemergian Lee sebagai satu kehilangan besar untuk semua.
Sebagai aktivis DAP sejak 1993, beliau berkata mendiang Lee telah menjalankan tugas dengan penuh amanah dan bertanggungjawab dalam perjuangan untuk rakyat Malaysia.
“Sejak diamanahkan sebagai wakil rakyat Kuala Kubu Baharu pada 2013, Lee telah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat tempatan,” katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.
Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkongsi gambar dalam Facebook beliau melawat Lee di hospital bersama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Yeo.
“Kini, anda telah pergi ke tempat yang bebas daripada penderitaan dan kesakitan. Sukar untuk melepaskan, namun sudah tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal,” kata Teo yang juga Ketua Wanita DAP.
Bagi Hannah pula, Lee disifatkan sebagai kawan rapat, malah beliau sempat menziarahi mendiang di hospital sebelum ini.
“Saya berharap keluarga beliau akan tabah menghadapi pemergian beliau,” katanya pada sidang media selepas melancarkan jerayawara tahunan Uni Enrol Scholar Search di sini hari ini. – BERNAMA