Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Polis (Pindaan) 2024 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu diluluskan dengan undian suara selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan dibahas oleh 15 ahli Parlimen.

Menurut Shamsul Anuar, RUU Polis (Pindaan) 2024 bertujuan mengadakan peruntukan bagi Yang di-Pertuan Agong sebagai Pesuruhjaya Kehormat bagi memberi penghormatan dalam hal ehwal adat istiadat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Peruntukan itu juga bagi mengiktiraf kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara di bawah Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan.

“Pindaan itu juga mengiktiraf kuasa Agong untuk melantik Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di bawah Perkara 140(4) dengan syor Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) selepas mempertimbangkan nasihat Perdana Menteri,” katanya ketika membentangkan RUU itu di Dewan Rakyat hari ini.

Shamsul Anuar menjelaskan, tidak timbul isu Yang di-Pertuan Agong dihadap ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk dibicara atas kes-kes berkaitan.

“Ini kerana kuasa perintah dan kawalan pasukan polis seperti diperuntukkan dalam Akta Polis 1967 adalah bawah kuasa Ketua Polis Negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, menjawab mengenai tindakan menaikkan denda di bawah Seksyen 7(2), Shamsul Anuar menjelaskan, ia hanya terpakai kepada pegawai dan anggota yang sudah bersara wajib atau berhenti daripada perkhidmatan sahaja.

Katanya, sejak 1967 peruntukan denda di bawah seksyen itu tidak pernah dipinda.

“Kadar denda ditingkatkan daripada RM100 kepada RM5,000 adalah bersesuaian dengan peredaran masa walaupun statistik menunjukkan belum ada kes direkodkan.

‘Peningkatan kadar ini adalah satu kaedah pencegahan daripada berlaku,” tambahnya. – MalaysiaGazette