Menteri Pengangkutan, Anthony Loke melihat proses peleraian komponen yang mengandungi buangan terjadual daripada kenderaan yang telah dibatalkan pendaftarannya oleh Kementerian Pengangkutan ketika melawat pusat Kemudahan Rawatan Automotif Berlesen (AATF), Car Medic Sdn Bhd, Bandar Teknologi Kajang, Semenyih. Foto MOHD ADZLAN, 21 MAC 2024.

KAJANG – Kerajaan memperkenalkan perkhidmatan pembatalan pendaftaran pemilikan kenderaan oleh pemilik berdaftar secara dalam talian yang dinamakan sebagai Sistem Pembatalan Pendaftaran Kenderaan Motor Secara Atas Talian (Online Motor Vehicles De-Registration System) atau singkatannya e-Dereg.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, e-Dereg merupakan inisiatif baharu kementerian untuk membantu menangani masalah lambakan kenderaan buruk dan terbiar dalam kawasan perumahan.

Katanya, salah isu yang menyebabkan pemilik kenderaan tidak berminat untuk menyelesaikan isu kenderaan buruk dan terbiar adalah mereka tidak bersedia menghadapi kerumitan proses pelupusan kenderaan dengan teratur dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga menghadapi cabaran yang sama.

“Tetapi menerusi sistem e-Dereg ini pemilik yang berhasrat untuk melupuskan kenderaan perlu melengkapkan proses pembatalan pendaftaran kenderaan mereka secara dalam talian tanpa perlu hadir di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas ini.

“Inisiatif ini sudah lama dicadangkan sebelum memakan sedikit masa untuk dilaksanakan sekarang kerana melibatkan pembangunan ekosistem yang menyeluruh dari sistem pembatalan pendaftaran sehingga pewujudan pusat pelupusan kenderaan yang mematuhi piawaian keselamatan dan alam sekitar,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir meninjau proses pelupusan kereta secara langsung di Pusat Fasiliti Rawatan Automotif Berlesen (AATF) di Bandar Teknologi Kajang tengah hari tadi.

Beliau berkata, pelupusan kenderaan melalui sistem ini hanya dibenarkan di mana-mana Fasiliti Rawatan Automotif Berlesen (AATF) yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sahaja untuk memastikan kenderaan bermotor dilupuskan secara teratur dan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.

Langkah itu bertujuan untuk mengelakkan pencemaran alam sekitar dan penjualan semula komponen kenderaan itu yang tidak selamat digunakan serta terdedah dengan risiko penyalahgunaan bagi tujuan jenayah yang akan mengheret pemilik asal kepada masalah serius.

“Setiap kenderaan yang dilupuskan itu akan terdapat sisa atau bahan buangan berjadual yang perlu diuruskan mengikut peraturan JAS bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab membuangnya dalam saliran air yang akan membahayakan orang awam.

“Selain pemilik asal berdaftar, ia juga membuka ruang kepada PBT melaksanakan pemutihan dan pengurusan kenderaan terbiar dalam kawasan tanggungjawab masing-masing menggunakan sistem ini yang masih memerlukan pemilik berdaftar asal bagi tujuan pembatalan kenderaan tersebut,” ujarnya.

Anthony juga memaklumkan kementeriannya juga sedang meneliti kemungkinan untuk membenarkan PBT menggunakan sistem tersebut bagi membatalkan pendaftaran kenderaan terbiar yang telah dilucutkan hak kepada PBT, melibatkan kenderaan yang telah dialihkan berpandukan Garis Panduan Pengurusan Kenderaan Terbiar yang telah dibangunkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan.

Sebagai permulaan, katanya, sistem De-Reg ini yang telah dibangunkan dengan kerjasama E-Auto Sdn Bhd akan dilaksanakan dengan pihak AATF berlesen di Bandar Teknologi Kajang, iaitu syarikat Car Medic Sdn. Bhd.

Anthony juga memberitahu buat masa ini JAS telah mengeluarkan lesen fasiliti berkenaan kepada 10 syarikat tetapi hanya dua sahaja yang telah mengaktifkan perkhidmatan mereka iaitu di Bandar Teknologi Kajang dan satu lagi syarikat Jaring Metal Industries Sdn.Bhd yang terletak di Seksyen 32, Shah Alam.

“Lagipun pemilik kenderaan persendirian boleh menyahdaftarkan kenderaan mereka menggunakan aplikasi e-Dereg yang disediakan oleh bengkel dalam masa lima minit sebelum kenderaan mereka akan ditunda dari rumah mereka sebelum proses pelupusan yang hanya memakan masa kurang sejam.

“Pemilik kenderaan buruk dan terbiar boleh membawa kenderaan ke premis pelupusan berlesen Car Medic Sdn.Bhd atau memanggil talian 03-8920 7555 Emel: [email protected] untuk mendapatkan perkhidmatan atau melayari laman web rasmi Car Medic Sdn.Bhd untuk mengisi borang enkuiri untuk proses selanjutnya,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette