KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Datuk Farhash Wafa Salvador diminta menjelaskan bagaimana beliau memiliki wang RM40 juta untuk muncul sebagai pemegang saham besar baharu HeiTech Padu Bhd.

Bekas pemimpin UMNO, Ishak Jalil berkata, beliau juga perlu menjawab persoalan sama ada mendapat maklumat dalaman sebelum membeli saham Heitech Padu yang telah disenaraipendek untuk kontrak kerajaan bernilai RM1 billion.

Bekas Ketua Penerangan UMNO itu turut mencabar bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak itu menjawab sama ada mempengaruhi atau cuba mempengaruhi proses perolehan kerajaan dalam kontrak RM1 billion tersebut.

“Farhash hanya perlu jawab soalan saya dan rakyat kerana projek yang syarikat dis terlibat ini melibatkan dana awam yang besar bernilai RM1 billion dan ia adalah suatu isu kepentingan awam.

“Beliau tidak perlu pun beri tempoh tujuh hari untuk minta maaf kepadanya berkaitan hantaran saya di media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat laporan ke atas Farhash di Balai Polis Dang Wangi di sini hari ini.

Laporan yang dibuat susulan laporan media dan portal bahawa Farhash melalui syarikat pelaburannya, Rosetta Partners Sdn. Bhd. telah membeli saham berjumlah sebanyak 16.1 juta unit dengan anggaran nilai lebih kurang RM40 juta dengan Heitech Padu.

Syarikat tersebut telah disenarai pendek untuk kontrak kerajaan bernilai RM1 billion.

Mengulas lanjut, Isham turut memberitahu, laporan juga akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuri Malaysia (SC) selepas ini.

“Oleh kerana projek yang berkaitan menggunakan dana kerajaan atau dana awam yang besar, Farhash adalah individu berprofil tinggi yang mempunyai kaitan dengan ahli-ahli politik dalam kerajaan, saya khuatir sekiranya terdapat unsur-unsur pelanggaran undang-undang dalam urus niaga di atas.

“Ini termasuk pelanggaran Seksyen 188 Akta Pasaran Modal berkenaan maklumat dalaman atau apa-apa unsur ‘undue influence’ atau mempengaruhi proses perolehan kerajaan seperti yang dinyatakan dalam portal media The Straits Times (Singapura) bertajuk “Ex-aide of Malaysian PM Anwar takes major stake in tech firm, raising governance concerns” bertarikh 17 Mac 2024, yang mungkin bercanggah dengan mana-mana seksyen dalam Bahagian IV Akta SPRM atau mana-mana peraturan perolehan kerajaan.

“Saya membuat laporan ini sebagai seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab yang ingin melihat negara ini bersih dari gejala kronisme atau rasuah ke arah tatakelola yang lebih baik.

“Dengan laporan ini diharapkan agar pihak berkuasa PDRM, SPRM dan Suruhanjaya Sekuriti dapat memulakan siasatan untuk menegakkan undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, Farhash menjelaskan pegangan saham dalam HeiTech Padu Bhd melalui syarikat Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikan bersamanya dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Katanya, Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikan penuh syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd yang mana ia dimiliki bersama dengan Sultan Muhammad V, bukannya milik mutlaknya sebagaimana dakwaan pihak tertentu.

Media sebelum ini melaporkan Farhash muncul sebagai pemegang saham besar baharu HeiTech Padu Bhd dengan kepentingan tidak langsung sebanyak 15.9 peratus atau 16.1 juta saham yang dibeli awal minggu ini.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Excel Force MSC Bhd pada Mei tahun lalu, dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Apex Equity Holdings Bhd pada Disember 2022.

HeiTech dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Farhash memiliki kepentingan dalam syarikat itu melalui syarikat persendirian, Rosetta Partners Sdn Bhd, yang membeli 9.69 juta saham pada 12 Mac dan 6.16 juta saham sehari sebelumnya.

“Pembelian itu dibuat menerusi transaksi perniagaan langsung,” katanya.

Isnin lalu, MyEG Services Bhd turut dilaporkan membeli 14.4 peratus kepentingan dalam HeiTech pada harga RM31.25 juta sebagai sebahagian daripada pelaburan strategik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Wah!! Duit rakyat..bila ditanya nak saman yer? Tak boleh tanya kaaa sebab ia membabitkan dana awam?

Comments are closed.