Pertukaran MoA tersebut dilakukan antara Hairulazim, Ketua Pegawai Eksekutif, Sabah Softwoods Berhad, Datuk Mohd Daud Tampokong dan Profesor Dr. Anjas Asmara.

TAWAU – Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) hari ini telah mengadakan pertukaran dua memorandum perjanjian (MoA) dengan dua rakan strategik iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sabah Softwoods Berhad (SSB).

Majlis pertukaran dua memorandum tersebut diadakan di Conference Room, Tree Plantation Central Office, Brumas, Sabah Softwoods Berhad, Tawau, Sabah.

MoA yang pertama adalah bagi projek Guidelines for Biodiversity-friendly Plantation antara MPOGCF dan UPM. Pelaksanaan projek ini dijadualkan mengambil masa setahun dengan menggunakan peruntukan sebanyak RM298,462.50 yang disalurkan MPOGCF.

Pertukaran MoA tersebut dilakukan antara Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud dan Pengarah Institut Pertanian Tropika & Sekuriti Makanan UPM, Profesor Dr. Anjas Asmara @ Ab Hadi Samsudin.

Projek yang diketuai Dr. Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan dari UPM itu bertujuan menyediakan garis panduan kepada kesemua pemegang taruh dalam industri sawit untuk menangani isu yang
melibatkan kelestarian biodiversiti di ladang sawit di negara ini.

Hairulazim dalam ucapannya berkata, penerbitan garis panduan tersebut akan melibatkan beberapa aktiviti kajian lapangan untuk verifikasi dapatan kajian, seminar dan bengkel untuk para penulis membincangkan perincian kandungan garis panduan dan aktiviti editorial ikhtisas untuk kumpulan penyunting.

“Justeru, adalah menjadi harapan MPOGCF agar garis panduan ini dapat membantu industri sawit Malaysia dalam menguruskan ladang kelapa sawit mampan yang mesra hidupan liar.

“Inisiatif ini sekali gus berupaya menangani konflik manusia-hidupan liar yang sering berlaku di ladang kelapa sawit bagi mencapai matlamat kehidupan bersama secara harmoni tanpa
menjejaskan hasil minyak sawit,” katanya.

MoA yang kedua adalah bagi projek kajian Bornean Elephant Grass Planting antara MPOGCF, UPM dan Sabah Softwoods Berhad.

MPOGCF telah meluluskan peruntukan berjumlah RM451,818 dan tempoh kajian adalah selama dua tahun bermula tahun ini.

Pertukaran MoA tersebut dilakukan antara Hairulazim, Ketua Pegawai Eksekutif, Sabah Softwoods Berhad, Datuk Mohd Daud Tampokong dan Profesor Dr. Anjas Asmara.

Menurut Hairulazim, objektif kajian ini yang akan diketuai oleh Prof. Madya Dr. Hasliza Abu Hassim dari Universiti Putra Malaysia adalah untuk menentukan ciri kaedah penanaman dan komposisi pemakanan rumput Napier serta menilai dan mengemaskini keberkesanan penggunaan koridor yang ditanam dengan rumput Napier dalam mempengaruhi pergerakan kumpulan gajah.

“Koridor ini telah diwujudkan oleh syarikat Sabah Softwoods Berhad dengan inisiatif kerjasama WWF-Malaysia bagi menghubungkan Hutan Simpan Ulu Kalumpang di bahagian tenggara selatan dan Hutan Simpan Ulu Segama yang terletak di bahagian utara,” jelasnya.

Kewujudan koridor ini membolehkan pergerakan spesies hidupan liar yang terancam terutamanya gajah pigmi Borneo dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain.

Projek ini turut memberi penekanan untuk membantu dalam membina kapasiti pakar tempatan dengan memberi latihan kepada pelapis saintis muda Malaysia dalam bidang pemuliharaan ekologi dan hidupan liar di Sabah melalui pembiayaan program ijazah Sarjana Sains (MSc) di universiti tempatan.

Projek kajian itu yang dijalankan oleh empat ahli akademik dari UPM dengan diketuai Prof Madya Dr Hasliza Abu Hassim serta dianggotai Prof Madya Dr Hafandi Ahmad, Dr Tengku Rinalfi Putra
Tengku Azizan dan Dr Mohd Huzairi Mohd Zainudin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast