KUALA LUMPUR – Maritim Negeri Perak merampas sebanyak 32 set bubu naga atau bubu kambang di kedudukan sekitar 4.3 batu nautika barat daya Pulau Talang, Perak pada sekitar jam 7.45 petang semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, bubu yang berukuran 10 meter panjang setiap satu yang dipasang secara berangkai ini dikesan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia dalam Op Ssayong/ Op Pintas/ Op Tanjung/ Op Tiris dan Op Khas Pagar Laut melalui bendera berwarna hijau yang mencurigakan terapung di permukaan air.

Tinjauan lebih dekat oleh anggota bot peronda mengesahkan bendera itu dijadikan sebagai penanda lokasi bubu naga yang dipasang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai lebih dua ribu ringgut itu dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Jika disabitkan kesalahan, individu yang melakukan kesalahan berkenaan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Shukri menjelaskan, modal yang rendah dengan hasil perikanan yang agak lumayan menjadikan kegiatan tersebut semakin berleluasa dan menimbulkan konflik dengan nelayan pantai atau tradisional yang menggunakan cara penangkapan biasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast