JOHOR BAHRU – Tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) hari ini melakukan operasi  bersepadu secara besar-besaran membendung  pengedaran stoking tertera kalimah Allah yang kontroversi sekarang.

Pengedaran itu didakwa melanggar syarat aktiviti lesen perniagaan yang diluluskan.

Menurut perkongsian keempat-empat laman sosial PBT berkenaan pelaksanaan operasi dilaksanakan sebagaimana titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenaan isu yang sama.

Majlis Perbandaran Muar (MPM) bersama Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan MPM hari ini telah melaksanakan pemeriksaan secara berserentak di empat buah premis KK Supermart & Superstore Sdn  Bhd iaitu di Jalan Maharani, Pekan Bakri, Taman Damai Sungai Abong dan Pekan Pagoh.

Hasil dari pemeriksaan  mendapati tiada lagi penjualan atau peyimpanan stoking yang tertea kalimah Allah.

“Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati terdapat beberapa pelanggaran syarat oleh keempat-keempat pasar raya tersebut dan MPM telah mengeluarkan kompaun serta merta terhadap pelanggaran yang dibuat oleh ke empat-empat pasar raya tersebut,” jelas perkongsian itu.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Segamat (MPS) dan Batu Pahat juga telah memeriksa beberapa kedai KK Mart di lokasi masing-masing.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan di kedua-dua kawasan PBT itu juga tidak menemui stoking kalimah ALLAH.

Sementara itu Majlis Perbandaran Segamat (MPS) di dalam laman sosialnya memberitahu, sebuah cawangan kedai serbaneka terbabit di Jementah telah diarahkan menutup operasi serta-merta kerana didapati tidak mengasingkan minuman keras dan minuman biasa semalam.

Hasil pemeriksaan turut mendapati  premis itu turut menyorokkan minuman keras tanpa lesen yang sah daripada MPS.

“Sebanyak 196 botol minuman keras berkenaan selaras di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil 50 (1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDS) 2017,” katanya.

Penutupan serta merta itu selaras peruntukan Undang-Undang Kecil 49 (2), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDS) 2017, kerana tiada pengasingan dibuat bagi minuman keras dan minuman biasa.- MalaysiaGazette

Caption: Operasi Bersepadu besar-besaran yang dilakukan tiga PBT di Johor sebagaimana titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, berkenaan kalimah ALLAH yang perlu sentiasa dimuliakan.